cinta menurut pandangan islam
cinta menurut pandangan islam
“..Ya Allah Engkau Tuhanku.. Tiada tuhan melainkan Engkau.. Engkau cinta agungku.. Nabi Muhammad pesuruhMu..”
Muqaddimah
Bait-bait
nasyid kumpulan Quturunnada di atas sering mengingatkan kita kepada
hakikat cinta yang sebenar. Bagi saya sendiri, makna serta irama yang
dibawa oleh Qutrunnada ini benar-benar menyentuh jiwa apatah lagi di
tengah-tengah kerancakan irama nasyid ala-KRU yang mewarnai dunia nasyid
pada masa sekarang.
Berbicara mengenai cinta, tentunya tidak
akan lepas dari perbincangan kita cinta monyet yang menghiasai dunia
muda-mudi sekarang ini. Malah, tidak keterlaluan untuk dinyatakan,
itulah pespektif masyarakat terhadap cinta. Sedangkan cinta sebeginilah
yang sering mendorong pelakunya ke arah melakukan maksiat kepada Allah
SWT. Sekotor itukah cinta?
Apakah cinta sebenarnya? Cinta
sebenarnya menepati satu angka perangkaan fitrah manusia. Tanpa nilai
cinta yang berdefinisi sebagai cetusan rasa dari orbit naluri ke arah
mengenali satu objek dengan penghayatan hakikat dan kewujudannya akan
membantutkan tumbesar manusia.
Kesenian cinta yang didasari
runtutan fitrah tanpa dicabul oleh hawa syahwat merupakan logo
kedamaian, keamanan dan ketenangan. Namun cinta seringkali diperalatkan
untuk melangsai keghairahan nafsu dan kebejatan iblis laknatullah. Demi
kemakmuran manusia sejagat, kita mesti menangani fenomena cinta dengan
nilai fikrah yang suci dan iman yang komited kepada Allah.
Permasalahan
cinta antara yang dihadapi secara serius oleh umat Islam hari ini.
Pertembungan antara cinta hakiki dan cinta palsu menyebabkan umat Islam
menghadapi dilema perasaan yang kronik. Krisis cinta palsu telah memapah
umat Islam ke medan pertembungan yang memusnahkan etika
spritual-membunuh solidariti dan menodai sosial.
Individu
mukmin sewajarnya peka terhadap kehadiran cinta di dalam jiwa. Cinta
yang berlogikkan nafsu dan syahwat semata-mata hanyalah cinta palsu yang
penuh jijik dan dihina. Menyedari hakikat ini, saya mencuba untuk
menggagahkan diri bercerita soal cinta secara ringkas menurut pandangan
Islam. Apatah lagi dalam suasana masyarakat remaja khususnya tertipu
dengan propaganda 14 Februari yang kononnya ialah hari Kekasih. Maka
sibuklah dunia berbicara soal cinta yang lebih menjurus kepada cinta
karut-marut yang bertemakan mainan perasaan yang sama sekali terseleweng
dari kehendak Islam.
Semoga Allah memberikan ganjaran
terhadap usaha yang kecil ini dalam membersihkan jiwa pemuda-pemuda dari
sebarang permainan perasaan yang hanya akan menyesatkan fikiran. Apakah
Kedudukan Cinta Di Dalam Islam?
Adakah Islam memusuhi cinta?
Adakah sebegini kejam sebuah agama yang disifatkan menepati fitrah?
Sebenarnya tidak. Malah Islam memandang tinggi persoalan cinta yang
tentunya merupakan perasaan dan fitrah yang menjiwai naluri setiap
manusia. Namun, cinta di dalam Islam perlulah melalui pelbagai peringkat
keutamaannya yang tersendiri :
1. Cinta kepada AllahIslam
meletakkan cinta yang tertinggi dalam kehiudupan manusia ialah cinta
kepada Allah. Ketinggian nilai taqarrub Al-Abid kepada Khaliq dapat
dikesan melalui cinta murni mereka kepada Pencipta. Tanpa cinta kepada
Allah perlakuan hamba tidak memberi pulangan yang bererti sedangkan apa
yang menjadi tunjang kepada Islam ialah mengenali dan dan menyintai
Allah. Sinaran cinta itu jua akan mendorong hamba bertindak ikhlas di
mihrab pengabdian diri kepada Allah serta menghasilkan cahaya iman yang
mantap.
Firman Allah SWT :“..(Walaupun demikian), ada juga di
antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi)
sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya)
sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu
lebih cinta (taat) kepada Allah...” (Surah Al-Baqarah ayat : 165)
Memiliki
cinta Allah seharusnya menjadi kebanggaan individu mukmin lantaran
keagungan nilai dan ketulusan ihsan-Nya.Namun menjadi suatu kesukaran
untuk meraih cinta Allah tanpa pengabdian yang menjurus tepat
kepada-Nya. Cinta Allah umpama satu anugerah yang tertinggi dan tidak
mungkin sesiapa dapat memilikinya kecuali didahulukan dengan pengorbanan
yang mahal. Cinta Allah adalah syarat yang utama untuk meletakkan diri
di dalam barisan pejuang-pejuang kalimah Allah SWT.
Firman Allah
SWT (yang bermaksud) :“..Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di
antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan
mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga
kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang
yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir...”
(Surah Al-Maidah, ayat 54)
2. Cinta Kepada Rasulullah SAW dan
para anbiya’Apabila manusia berada di dalam kegelapan yang begitu
kelam,maka diutuskan pembawa obor yang begitu terang untuk disuluhkan
kepada manusia ke arah jalan kebenaran. Sayang, pembawa obor tersebut
terpaksa begelumang dengan lumpur yang begitu tebal dan menahan cacian
yang tidak sedikit untuk melaksanakan tugas yang begitu mulia.Pembawa
obor tersebut ialah Rasulullah SAW. Maka adalah menjadi satu kewajipan
kepada kepada setiap yang mengaku dirinya sebagai muslim memberikan
cintanya kepada Rasulullah dan para ambiya’. Kerana kecintaan inilah,
para sahabat sanggup bergadai nyawa menjadikan tubuh masing-masing
sebagai perisai demi mempertahankan Rasulullah SAW.
Dalam satu
hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim menyebut :Diriwayatkan
daripada Anas r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Tiga perkara, jika
terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan
memperolehi kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan RasulNya
lebih daripada selain keduanya, mencintai seorang hanya kerana Allah,
tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya dari
kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam
Neraka.(Bukhari : no. 15, Muslim : no. 60, Tirmizi : no. 2548 Nasaie :
no. 4901)
Namun, dalam suasana kita sekarang yang begitu jauh
dengan Rasulullah SAW dari segi masa, adakah tidak berpeluang lagi untuk
kita memberikan cinta kepada Rasulullah SAW? Sekalipun Rasulullah SAW
telah meninggalkan kita jauh di belakang, sesungguhnya cinta terhadap
baginda boleh dbuktikan melalui kepatuhan serta kecintaan terhadap
sunnahnya. Oleh yang demikian, orang yang memandang hina malah
mengejek-ngejek sunnah Rasulullah SAW tentunya tidak boleh dianggap
sebagai orang yang menyintai Rasulullah SAW.
3. Cinta Sesama
MukminInteraksi kasih sayang sesama mukmin adalah merupakan pembuluh
utama untuk menyalurkan konsep persaudaraan yang begitu utuh. Cinta
sesama mukmin inilah yang mengajar manusia supaya menyintai ibubapanya.
Malah mengherdik ibubapa yang bererti merungkaikan talian cinta kepada
keduana adalah merupakan dosa besar sebagaimana yang disebut di dalam
satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah r.a katanya:“Ketika kami
bersama Rasulullah s.a.w, baginda telah bersabda: Mahukah aku ceritakan
kepada kamu sebesar-besar dosa besar: Ianya tiga perkara, iaitu
mensyirikkan Allah, mengherdik kedua ibu bapa dan bersaksi palsu atau
kata-kata palsu..”(Hadis riwayat Bukhari, no. 5519, Muslim : no. 126)
Alangkah
indahnya sebuah agama yang mengajar penganutnya agar menghormati dan
menyintai kedua ibubapanya yang telah melalui susah payah untuk
membesarkan anak-anak mereka. Di manakah lagi keindahan yang lebih
menyerlah selain daripada yang terdapat di dalam Islam yang mengajar
umatnya dengan pesanan :“..Dan hendaklah engkau merendah diri kepada
keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk
mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka
berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara
dan mendidikku semasa kecil."(Surah Israk, ayat 24)
Selain
daripada cinta kepada kedua ibubapa ini, Islam juga meletakkan cinta
sesama mukmin yang berimana sebagai syarat kepada sebuah perkumpulan
atau jemaah yang layak bersama Rasulullah SAW. Hayatilah betapa dalamnya
maksud firman Allah SWT :“..Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah;
dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap
orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih
sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam)...(Surah
Al-Fath, ayat 29)
Malah, Al-Quran sendiri menukilkan betapa
pujian melangit yang diberikan oleh Allah SWT kepada golongan Ansar yang
ternyata menyintai golongan Muhajirin dengan cinta suci yang berasaskan
wahyu Ilahi. Malah dalam keadaan mereka berhajat sekalipun, keutamaan
tetap diberikan kepada saudara-saudara mereka dari golongn Muhajirin.
Firman Allah SWT yang bermaksud :“..Dan orang-orang (Ansar) yang
mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi
orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam
hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada
orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang
yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka
dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. ..”(Surah Al-Hasyr, ayat 9)
Bukankah
ini yang telah diajar oleh Islam? Maka di tengah-tengah kecaman
keganasan yang dilemparkan kepada Islam pada hari ini, kenapa tidak
masyarakat antarabangsa malah umat Islam sendiri melihat bahawa betapa
agungnya unsur kasih sayang dan cinta yang terdapat di dalam Islam?
Namun, betapa agungnya cinta di dalam Islam, begitu jualah agungnya
penjagaan Islam sendiri terhadap umatnya agar sama sekali tidak
mencemarkan kesucian cinta dengan kekotoran nafsu.Itulah cinta di dalam
Islam. Ia tidak dapat tidak haruslah diasaskan di atas dasar keimanan
kepada Allah. Alangkah ruginya cinta yang lari dari landasan iman. Akan
hanyutlah jiwa-jiwa yang menyedekahkan dirinya untuk diperlakukan oleh
‘syaitan cinta’ sewenangnya-wenangnya Cinta Dunia Remaja : Tragedi Yang
Menyayat HatiTidak ada orang yang boleh mendakwa dirinya lari daripada
mainan perasaan. Asal saja ia bernama manusia, maka sekaligus dirinya
akan dicuba dengan mainan nafsu yang bagaikan lautan ganas yang begitu
kuat bergelombang. Salah satu darinya ialah mainan cinta.
Tidak
sedikit orang yang rebah kerana cubaan ini. Dalam berbicara persoalan
peringkat pembinaan ‘cinta lutong’, As-Syauqi pernah bermadah :Benar
kata Syauqi, cinta lutong ini bermula dengan mainan mata yang tidak
mempunyai sempadannya, ia kemudiannya diikuti dengan sahutan suara dan
saling berhubung. Sampai peringkat tersebut, amat sukar sekali bagi
pasangan cinta untuk tidak bertemu dan berdating sekaligus mendedahkan
diri kepada aksi yang lebih hebat. Oleh kerana itulah, Islam dalam
menjaga kesucian cinta dari dicemari oleh unsur-unsur nafsu meletakkan
batasan pandangan seorang muslim dan muslimah.
Firman Allah SWT
yang bermaksud :“..Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki
yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada
memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian
itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam
PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan...”(Surah An-Nuur, ayat
30)
Betapa bahayanya cinta lutong ini boleh dilihat apabila
pasangan yang dhanyutkan olehnya tidak akan berupaya untuk berfikir
secara waras lagi. Setiap detik dan masa yang berlalu tidak akan sunyi
dari memikirkan persoalan cinta mereka. Setiap saat, jiwa sudah tidak
mampu lagi untuk tenteram sekiranya tidak didodoikan dengan suara halus
dan lunak yang berbicara dengan kata-kata yang hanya layak
diperdengarkan di dalam kelambu. Sudah berkubur cita-cita perjuangan dan
sudah lebur harapan masyarakat yang dipikulkan di atas bahu, yang ada
hanyalah kehendak memuaskan hati pasangan masing-masing. Lantas, di saat
demikian, layakkah orang yang hanyut ini diharapkan memikul
tanggungjawab melaksanakan tugas penting membimbing masyarakat?Apakah
penyelesaian terhadap permasalahan ini? Jalan yang paling baik ialah
perkahwinan.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud
:“..Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai
keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia
berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan
menjaga kehormatan. Maka sesiapa yang tidak berkemampuan, hendaklah dia
berpuasa kerana puasa itu dapat mengawal iaitu benteng nafsu..”(Bukhari
: no. 1772, Muslim : no. 2485)
Selain daripada perkahwinan yang
tentunya merupakan perkara yang hampir mustahil untuk dilaksanakan dalam
dunia seorang penuntut ilmu, maka Rasulullah SAW mencadangkan puasa
sebagai jalan terbaik melepaskan diri dari kekangan nafsu yang
meronta-ronta. Selain daripada itu, Islam sama-sekali tidak membuka
pintu yang lain.
Selain daripada perkahwinan, tidak dapat tidak,
hanyalah kawalan terhadap jiwa mampu menyelamatkan diri sendiri dari
turut terjun dalam arus ganas cinta lutong.Sesungguhnya cinta sebelum
perkahwinan adalah cinta palsu yang walaupun dihiasi dengan
rayuan-rayuan halus namun ia adalah panggilan-panggilan ke lembah
kebinasaan! Dan sekalipun kekosongan jiwa daripada cinta lutong secara
zahirnya adalah penderitaan dan kesunyian yang begitu hebat, namun
itulah hakikat cinta sejati kepada Allah. Andainya hati dihiasi dengan
rayuan-rayuan syaitan yang seringkali mengajak ke arah melayan perasaan,
maka hilanglah di sana cita-cita agung untuk menabur bakti kepada Islam
sebagai medan jihad dan perjuangan.Percayalah, masa muda yang
dianugerahkan oleh Allah hanyalah sekali berlalu dalam hidup. Ia tidak
akan berulang lagi untuk kali kedua atau seterusnya. Meniti usia remaja
dengan berhati-hati dan mengenepikan mainan perasaan adalah merupakan
perkara yang amat sukar sekali. Apatah lagi, semakin dihambat usikan
perasaan, semakin ia datang mencengkam dan membara. Namun, itulah
mujahadah melawan perasaan. Sekadar perasaan dan diri sendiri menjadi
musuh, alangkah malunya untuk kita tewas terlalu awal. Usia emas yang
diberikan ini alangkah baiknya andainya digunakan sebaik mungkin
menggali sebanyak mana anugerah di bumi ilmu.Namun, kita manusia boleh
tertewas bila-bila masa sahaja. Tidak kira siapapun kita. Sekalipun kita
arif malah benar-benar mengetahui bahawa yang hadir hanyalah sekadar
tipuan, namun kita bisa rebah dalam ketewasan yang kita sendiri
sebenarnya merelakannya.Oleh yang demikian, apakah yang akan
menyelamatkan selain keimanan, ketakwaan dan kecekalan?
0 Response to "cinta menurut pandangan islam"
Post a Comment